suria

Jangan Dera Keluarga Saya - Anwar

Gambar fail menunjukkan Anwar diberi pelepasan untuk menghadiri majlis pengebumian arwah bapanya, Datuk Ibrahim Abdul Rahman di Kajang pada 5 April lalu.

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dipenjarakan kerana kesalahan meliwat mendakwa pihak berkuasa memberi layanan yang 'terlalu ketat' hingga menyusahkan keluarga dan peguamnya.

Menerusi pesanan lisan yang disampaikan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, bekas Ketua Pembangkang itu meminta Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya memberi sedikit keistimewaan kepadanya.

"Semuanya terlalu ketat. Nak dera Anwar, faham. Saya faham. Itu saya tak ada masalah.

"Tapi janganlah dera keluarga saya. Keluarga nak jumpa susah...bagilah jumpa sekejap," katanya pada Rabu.

Selain itu menerusi pesanan yang sama ketika hadir di Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Anwar mendakwa haknya untuk mendapatkan khidmat peguam turut disekat.

"Jangan sekat peguam saya. Ini buku nota pun tidak boleh. Saya mintak Datuk Seri Zahid timbang. Timbang keluarga dan kerja urusan peguam," katanya.

Sebelum ini isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan mendakwa tidak dibenarkan melawat suaminya pada perjumpaan khas keluarga dan penghuni penjara sempena sambutan Aidilfitri.

Bagaimanapun Jabatan Penjara menerusi kenyataan pada 20 Julai lalu menegaskan tiada banduan beragama Islam dinafikan hak perjumpaan dengan ahli keluarga sempena Aidilfitri secara berperaturan, termasuk Anwar.

Anwar Ibrahim

Artikel Lain