suria

Perancis Selesai Siasatan Fasa Pertama Flaperon MH370

KUALA LUMPUR: Pasukan siasatan diketuai Perancis sudah selesai menjalankan pemeriksaan fasa pertama terhadap bahagian sayap atau flaperon pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370.

Pusat Penyelarasan Agensi Bersama Australia (JACC) berkata pihak berkuasa Perancis akan melaporkan mengenai perkembangan siasatan itu dalam masa terdekat selepas berbincang dengan Malaysia.

"Pasukan siasatan Perancis bekerja secepat mungkin untuk menyediakan maklumat yang lengkap dan boleh dipercayai," kata JACC dalam  kenyataannya yang dikeluarkan di sini, Rabu.

Pada 6 Ogos lepas, pakar-pakar antarabangsa mengesahkan bahawa flaperon yang dijumpai di Pulau Reunion milik Perancis bulan lepas adalah milik Penerbangan MH370, yang menyokong kesimpulan sebelum ini bahawa pesawat MAS itu terhempas di selatan Lautan Hindi kira-kira 17 bulan lepas.

Penerbangan MH370 itu hilang dari imbasan radar ketika dalam penerbangan ke  Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac tahun lepas. Pesawat itu membawa 239 penumpang dan anak kapal.

JACC juga berkata para pegawai dari Australia, Malaysia dan China dijangka bermesyuarat di Canberra pada awal September.

"Mesyuarat itu membolehkan maklumat dikongsi bersama antara ketiga-tiga negara serta berbincang mengenai operasi pencarian.

"Mesyuarat itu akan memberi tumpuan kepada perancangan bagi memastikan misi mencari dijalankan secara efisien dengan mengambil kira jangkaan  cuaca baik semasa bermulanya musim panas," kata kenyataan itu.

Sementara itu, kapal-kapal Fugro iaitu Discovery dan Equator, kini kembali menyertai misi mencari pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi.

"Kapal Fugro Discovery tiba pada 12 Ogos manakala Fugro Equator akan kembali selepas menjalankan rutin menghantar bekalan hari ini (19 Ogos).

"Kapal-kapal itu akan menjalankan operasi mencari sehingga pertengahan September," kata JACC.

Pada 16 Ogos lepas, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata misi mengesan MH370 membabitkan Malaysia, Australia dan China akan diteruskan di dasar Lautan Hindi.

Misi itu antara lain akan mencari kotak hitam dan bangkai pesawat MH370.

MH370, Flaperon

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain