PETALING JAYA: Kelahiran bayi panda gergasi di Zoo Negara pada Selasa mencetuskan fenomena di media sosial. Selain daripada mesej ucapan tahniah, seorang pengguna Twitter @DayangLeen menulis: "Oleh kerana begitu banyak berita negatif (sejak akhir-akhir ini) ini mungkin menjadi salah satu berita yang baik selepas apa yang berlaku". Selain itu ramai pengguna media sosial Malaysia juga mengambil kesempatan untuk mencadangkan nama kepada anak panda berkenaan. Salah satu nama yang paling banyak dicadangkan ialah 'Merdeka' - sesuai dengan tarikh anak panda gergasi itu dilahirkan iaitu pada bulan Ogos. "Merdeka," demikian cadangan pengguna Facebook, Vijyah Balakrishnan. "Merdeka, memandangkan ia lahir dekat dengan tarikh ulang tahun kemerdekaan," katanya lagi. "Merdeka akan sentiasa dikenang pada hari istimewa ini di dalam hati kita," kata pengguna lain, Aubrey Tan How. Nama lain yang dicadangkan termasuk 'Xiang Liang' oleh pengguna, Boon Teik Chew. Katanya 'Xiang Liang' bermaksud gembira.