KUALA LUMPUR: Minimum lima tahun merupakan tempoh yang sesuai untuk pelajar memperbaiki kelemahan mereka dalam Bahasa Inggeris (BI) sebelum syarat wajib lulus mata pelajaran itu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilaksanakan. Menurut pandangan Prof Madya Dr Raja Nor Safinas Raja Harun, jangka masa itu mampu melatih pelajar menguasai bahasa itu bermula dengan pelajar yang memasuki tingkatan satu tahun depan. "Tempoh lima tahun akan memberi kesedaran kepada pelajar memperbaiki kelemahan berbahasa Inggeris serta lulus dengan jayanya pada SPM nanti," kata dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu. Beliau memberitahu Bernama ketika mengulas pengumuman Kementerian Pendidikan semalam untuk menangguhkan pelaksanaan syarat wajib lulus subjek BI dalam SPM yang sepatutnya bermula tahun depan. Selain itu, peperiksaan Pusat Amali Sains bagi subjek Fizik (Kod 4531), Kimia (Kod 4541), Biologi (Kod 4551) dan Sains Tambahan (kod 4561) dalam SPM yang sepatutnya bermula tahun depan turut ditangguhkan. Raja Nor Hafinas berkata pelajar luar bandar dan pedalaman perlu memahirkan diri dengan strategi pembelajaran bahasa Inggeris bagi meningkatkan kemahiran dan mengatasi kelemahan penggunaan bahasa tersebut. Walaupun sedar jurang pencapaian penguasaan BI pasti wujud antara pelajar bandar dan luar bandar, namun beliau yakin dengan kaedah pembelajaran masteri, ia mampu mengatasi defisit itu. Pembelajaran masteri merupakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berfokuskan penguasaan murid dalam sesuatu perkara yang diajar. Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan pula berkata penangguhan syarat wajib lulus BI dalam SPM tidak perlu melebihi tempoh tiga tahun. "Penangguhan itu dilihat seolah-olah seperti kerajaan tidak bersedia dan ini menimbulkan banyak persoalan tentang perancangan yang telah diatur. "Oleh itu, saya mencadangkan supaya diwujudkan satu jawatankuasa khas untuk mengkaji dan merancang pelaksanaan peperiksaan ini dengan sejelasnya," katanya. Katanya jawatankuasa khas itu perlu dibarisi pakar-pakar berkemahiran tinggi dalam bidang berkenaan supaya mereka dapat merancang dan mengesyorkan langkah terbaik pelaksanaannya. Selain itu, katanya, ujian percubaan perlu dilakukan setahun sebelum pelaksanaan syarat wajib itu supaya kelemahannya dapat dilihat dan diperbaiki. Sementara itu, seorang guru BI di sebuah sekolah menengah luar bandar di Perak, yang tidak mahu dinamakan, berkata beliau amat bersyukur dengan keputusan penangguhan syarat wajib itu kerana tidak bersedia dengan pelaksanaan syarat itu. "Syarat ini terlalu drastik...kerana kebanyakan pelajar luar bandar tidak berminat dengan BI yang dianggap mereka sebagai bahasa asing dan sukar untuk difahami," katanya. Sementara itu, parti Gerakan menyambut baik keputusan penangguhan tersebut kerana ia memberi kelegaan besar kepada pelajar dan guru yang masih memerlukan lebih banyak masa untuk membuat persiapan. Pengerusi Biro Pusat Pendidikan Gerakan, Lau Chin Hoon berkata Kementerian Pendidikan telah mengambil langkah wajar kerana ia lebih konstruktif daripada melaksanakannya. "Kami menyeru kerajaan untuk merancang dengan baik, bermula dari peringkat awal seperti Tingkatan satu dan tidak sebaliknya melaksanakan dasar baharu yang menyukarkan pelajar dan guru yang belum bersedia," katanya dalam kenyataan.