KUCHING: Polis sedang menyiasat dakwaan seorang pemilik laman sosial Facebook kononnya anggota polis tidak mengambil perhatian terhadap aduannya bahawa rumahnya dipecah masuk. Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, beliau melihat kes itu sebagai serius dan telah mengarahkan pegawainya untuk menyiasat dakwaan tersebut. Khamis, seorang pemilik laman Facebook memuat naik status menyatakan ketidakpuasan hatinya apabila anggota polis di Balai Polis Gita tidak memberi perhatian terhadap aduannya. Anggota polis yang menjawab panggilan telefon mangsa berkata tempat tinggalnya berada di kawasan Matang dan bukan di bawah pentadbiran balai berkenaan. Roslan Bek berkata Balai Polis Gita berada dalam kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, manakala lokasi mangsa itu berada di bawah pentadbiran IPD Padawan. Beliau berkata pihaknya akan mendapatkan kenyataan daripada pemilik laman sosial tersebut dan anggota di balai berkenaan sebelum membuat sebarang tindakan lanjut.-- Bernama