PETALING JAYA: Berkuat kuasa 1 September ini, kira-kira dua juta isi rumah di negara ini perlu mengasingkan sisa pepejal mereka namun kebanyakan mereka masih samar-samar mengenai apakah yang seharus mereka harus lakukan. "Saya tidak menyedari tentang perkara ini dan saya tidak fikir semua di kawasan perumahan saya pun menyedarinya," kata penjawat awam, Ong Rou Jin. "Saya rasa perlu ada lebih banyak kempen dan taklimat kesedaran oleh kerajaan untuk mendidik penduduk. "Secara peribadi, saya keliru terhadap pengasingan sisa," katanya. "Masyarakat perlu diberikan kesedaran terlebih dahulu sebelum kerajaan mula mendenda orang ramai kerana tidak mematuhi undang-undang," katanya yang berusia 26 tahun dan menetap di Kota Tinggi, Johor. Di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007, isi rumah di Kuala Lumpur dan Putrajaya serta enam negeri iaitu Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah perlu mengasingkan sisa pepejal mereka. Pada masa ini, isi rumah di Perak, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu tidak terlibat dengan pelaksanaan peraturan baharu itu. Tahun lalu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan mengumumkan bahawa proses pengasingan sisa pepejal perlu diasingkan mengikut komposisi seperti plastik, kertas, kadbod, kaca, logam dan sisa makanan. Pelajar Universiti Teknologi Malaysia, Roslin Rahim yang menetap di Skudai turut tidak mengetahui peraturan baharu tersebut. Roslin, 27, percaya kebanyakan rakyat Malaysia masih belum mengubah mentaliti mereka terhadap kitar semula dan manfaatnya. "Saya rasa jika semua orang diberikan kesedaran mengenai faedah kitar semula, jadi mereka boleh melihat kebaikan daripadanya dan ini akan memudahkan pelaksanaan itu," katanya. Pengurus program, Rishen Philip, 33 yang menetap di Bangsar, bersetuju mengenai pengasingan sisa pepejal sebagai satu dasar yang baik namun berpendapat bahawa kesedaran awam perlu diperbanyakkan lagi sebelum melaksanakan peraturan tersebut. "Saya tidak setuju untuk bayar denda terhadap sesuatu yang tidak disedari saya," tambahnya. Faten Baharuddin, seorang guru bahasa Inggeris berusia 32 tahun yang menetap di Kuala Lumpur memberitahu dia membaca mengenai pengumuman dasar itu di dalam akhbar tetapi tidak menerima maklumat lain. "Saya tidak melihat sebarang iklan. Tiada seorang pun yang datang ke perumahan saya dan memberikan risalah mengenai peraturan berkenaan," kata Faten. Dia turut tidak mengetahui sama ada penduduk akan diberikan tong sampah baharu untuk memudahkan mereka membuat pengasingan sampah. Walaupun Faten melihat dirinya sudah bersedia untuk mengasingkan sampah tetapi dia berpendapat ramai yang masih keliru. Eksekutif perhubungan awam, Sara Chong, 26 yang menetap di Cheras berkata, dia mengetahui berita mengenai peraturan tersebut daripada rakannya namun tidak menyangkakan ia dilaksanakan dalam waktu terdekat. "Saya boleh menggalakkan keluarga saya untuk mengasingkan sampah mereka, tak jadi masalah. Saya sendiri sudah melakukan kitar semula di tempat kerja," katanya. "Setiap aras di kondominium saya telah menyediakan kawasan pembuangan sampah. "Bagaimanapun, saya lebih bimbang mengenai penduduk lain di kondominium saya yang kadang-kadang tidak dapat membuang sampah mereka di bekas yang disediakan," katanya.