PETALING JAYA: Sudah 100 hari Thien Nyuk Fun dan Bernard Then Ted Fen diculik dari sebuah restoran terapung di Sandakan. Nyuk Fun, 50, dan Ted Fen, 39, ditahan oleh kumpulan Abu Sayyaf di Jolo, selatan Filipina. Ahli keluarga kedua-dua mereka semakin bimbang apabila mendapat tahu tentang laporan penggal kepala dan serbuan tentera yang dilakukan baru-baru ini. "Tiada apa yang boleh kita lakukan. Kami berharap kerajaan dapat membantu kami," kata anak lelaki Nyuk Fun, Chung Chin Lung. Chin Lung, 31, berkata ibunya mempunyai tekanan darah tinggi dan mengalami masalah kesihatan yang lain. Keadaannya dikatakan merosot dengan cepat di dalam hutan dan ini telah menyebabkan neneknya lebih bimbang. "Nenek saya hilang selera makan. Dia sangat kurus sekarang," kata Chin Lung. Nyuk Fun, pengurus restoran, dan Ted Fen rakyat Sarawak yang sedang bercuti, diculik dari Ocean King Seafood Restaurant pada 14 Mei dan dibawa ke Jolo oleh kumpulan bersenjata yang kemudian menuntut wang tebusan. Kali terakhir ahli keluarga berhubung dengan dua mangsa tebusan ini adalah pada akhir bulan Jun. Sejak itu, polis telah mengendalikan kes itu, kata Chan Wai See, isteri Nyuk Fun. "Kami telah diberitahu bahawa mereka sering bergerak dari satu tempat ke tempat lain. Keadaan di Filipina adalah sangat tidak menentu," katanya dalam nada sebak. Wai See, 40, berkata, ibu bapa mertuanya sangat bimbang dan menghubunginya setiap hari untuk mengetahui tentang perkembangan anak mereka. "Saya tidak boleh memberikan mereka banyak maklumat dan hanya boleh cuba untuk menenangkan mereka," katanya. Abu Sayyaf memenggal kepala seorang ketua kampung warga Filipina pada 11 Ogos selepas keluarganya gagal memberikan wang tebusan 1 juta peso (RM892,000). Ketua kampung itu telah diculik pada 4 Mei bersama-sama dengan dua anggota pengawal pantai lain.