CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan beberapa individu kerana menyalahgunakan perkhidmatan komunikasi dan media sosial. Ketua Bahagian Pemantauan dan Penguatkuasaan SKMM Zulkarnain Mohd Yasin berkata mereka ditahan dalam operasi di beberapa buah premis di Terengganu, Kelantan dan Pulau Pinang baru-baru ini. Menurutnya, operasi itu dijalankan berdasarkan aduan awam terhadap beberapa suspek yang memuat naik kandungan lucah di laman blog, menghantar kandungan lucah melalui SMS dan e-mel serta membuat panggilan palsu ke Pusat Perkhidmatan Talian Kecemasan 999. Katanya beberapa kelengkapan atau peranti komunikasi milik suspek turut disita selain rakaman percakapan mereka diambil bagi membantu siasatan. "Antara peranti-peranti komunikasi yang dirampas termasuk telefon bimbit, kad sim, pendrive, komputer riba, modem dan Samsung Tab," katanya dalam satu kenyataan, di sini Sabtu. Zulkarnain berkata kesemua perbuatan itu adalah satu kesalahan di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali. Katanya, SKMM memandang serius penyalahgunaan media sosial dan perkhidmatan komunikasi dan akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan lunas undang-undang seperti diperuntukkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. "Kami juga mengucapkan terima kasih kepada individu yang membantu mengenal pasti suspek dan berharap orang awam menyalurkan maklumat penyalahgunaan media sosial dan perkhidmatan komunikasi kepada pihak berkuasa daripada memaparkan penyalahgunaan tersebut di media sosial," katanya. Dalam perkembangan berkaitan, SKMM juga meminta seorang individu bernama Muhamad Rais Ramlee untuk menghubungi pegawai penyiasat SKMM, Akmal Hamdy di talian 03-8688 8000 atau hadir di ibu pejabat SKMM bagi membantu siasatan.