BENTONG: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal menafikan khabar angin mengenai beliau merupakan sebahagian daripada komplot untuk menggulingkan kerajaan dengan mengatakan bahawa beliau adalah salah seorang pengasas Umno di Sabah. "Saya masih ingat semasa saya mula menjadi salah seorang pengasas di Sabah. Saya berhadapan dengan banyak cabaran. Malah saya pernah digelar sebagai 'anjing Umno' dari Semenanjung. "Bila nama saya disebut sebagai salah seorang yang menggulingkan kerajaan... nauzubillah, kenapa saya perlu buat macam tu?," katanya ketika berucap pada majlsi perasmian mesyuarat Umno bahagian Bentong pada Sabtu. Shafie memberi amaran kepada parti supaya bertindak segera untuk mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap parti sebelum pilihan raya umum akan datang. "Jika kita melihat sejarah, kita kalah di tangan Pembangkang di Kedah, Perak, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor disebabkan oleh beberapa isu. "Dalam pilihan raya umum akan datang, kita mesti bersedia untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai GST, kos sara hidup yang meningkat, isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kenaikan kos petrol dan banyak lagi," katanya.