suria

Lelaki Myanmar Dipenjara 10 Bulan, Cabul Ibu Anak Dua

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur warga Myanmar pada Isnin dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini bagi kesalahan mencabul seorang ibu dua anak, awal bulan ini. 

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin membuat keputusan itu selepas Nang Deih Piang, 22, mengaku bersalah terhadap pertuduhan memeluk dan memegang punggung pembantu akauntan sebuah syarikat swasta itu dengan maksud hendak mencabul kehormatannya. 

Nang didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah pusat pakaian di Jalan San Peng, Dang Wangi, di sini pada pukul 9 malam, 9 Ogos lepas mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda, atau dengan sebat, atau mana-mana dua daripada seksaan itu.  

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 23 Ogos. 

Mengikut fakta kes, mangsa yang berusia 24 tahun telah pergi ke pusat pakaian itu bersama-sama dua orang anaknya dan setelah selesai membeli-belah,wanita itu pergi ke keretanya yang diletak di hadapan pusat pakaian itu dan memasukkan barangan yang dibeli ke dalam kereta. 

Tertuduh dengan tiba-tiba telah datang dan memeluk mangsa dari belakang.

Mangsa kemudian menjerit meminta pertolongan sebelum orang awam datang membantunya. 

Terdahulu, Nang hanya mendiamkan diri ketika diminta membuat rayuan, bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa memohon mahkamah menjatuhi hukuman berbentuk pengajaran.

Cabul, Lelaki Myanmar

Artikel Lain