suria

Wanita Hanya Cedera Ringan Terjatuh Cenuram 30 Meter Di Bukit Tabur

KUALA LUMPUR: Seorang wanita terselamat dan hanya cedera ringan pada kaki selepas tersangkut pada dahan pokok setelah terjatuh dari cecuram setinggi 30 meter di Bukit Tabur, Ulu Kelang, dekat sini, Ahad.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan wanita itu, Arifffatinayunie Tajulariffin, 23, pada kira-kira 2.16 petang.

Katanya wanita itu pergi mendaki di bukit itu bersama-sama adik lelakinya dan tiga rakannya pada 8 pagi Ahad.

Bagaimanapun semasa menuruni bukit, kempat-empat mereka tersilap ambil jalan dan terpisah dengan adiknya pada kira-kira 12.37 tengah hari, katanya.

Beliau berkata jabatan yang menerima panggilan daripada orang awam berhubung insiden itu segera menghantar enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang diketuai Supt Ariff Mohamed Kassim untuk misi mencari dan menyelamat.

Mereka dibantu empat anggota polis dan dua anggota Persatuan Bulan Sabit Merah, katanya.

Mohd Sani berkata pasukan penyelamat berjaya mengesan kedudukan mangsa pada  1.06 tengah hari dan mengambil masa satu jam untuk menurunkannya dari pokok itu.

Adik lelakinya tiba di tempat kejadian beberapa minit kemudian manakala tiga rakannya berjaya diselamatkan pada 7 malam, katanya.

Bukit Tabur

Artikel Berikut

Artikel Lain