suria

Peluang Pekerjaan Di KL Meningkat 1.4 Juta Pada 2020

Mhd Amin Nordin.

KUALA LUMPUR: Seiring dengan pertambahan penduduk di ibu kota, jumlah peluang pekerjaan di Kuala Lumpur dijangka meningkat kepada 1.4 juta menjelang 2020 berbanding 1.3 tahun ini, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin.

"Sebagai sebuah bandar raya yang menjadi lokasi utama perniagaan dan perdagangan negara yang menempatkan ibu pejabat serantau bagi syarikat tempatan dan antarabangsa, tentunya faktor ini membuatkan peluang pekerjaan dalam bandar terus meningkat," katanya.

Menurut Mhd Amin, mengikut bidang, lebih satu per tiga daripada peluang pekerjaan baharu adalah di sektor kewangan, pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

Katanya, Kuala Lumpur sudah mempunyai bekalan ruangan pejabat dan tempat bekerja dan kemudahan pusat mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE)  berkualiti tinggi yang mencukupi untuk menampung perubahan ini.

Beliau berkata, kos sewaan ruangan bekerja dan pejabat yang rendah berbanding negara lain juga akan lebih menarik para pelabur untuk memilih ibu kota ini sebagai hab perniagaan mereka sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan.

Selain itu, Mhd Amin berkata dari segi sumber tenaga manusia pula, bekalan tenaga muda berpendidikan dan berkemahiran tinggi yang berterusan juga dilihat sebagai faktor daya tarikan untuk perkembangan tersebut.

Melalui tinjauan Bernama, rata-rata kekosongan jawatan yang diiklankan di portal pengambilan pekerja juga menunjukkan syarikat beralamat ibu kota menunjukkan jumlah tertinggi berbanding bandar utama lain dalam negara.

Populasi jumlah penduduk di ibu kota terkini mencatat angka 1.78 juta dan jumlah tersebut dijangka meningkat kepada 2.2 juta menjelang 2020, kata Mhd Amin.


DBKL, Mhd Amin Nordin

Artikel Lain