PETALING JAYA: Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak memuat naik gambar seekor "Wall Street Bull" tumbang di akaun Instagramnya untuk menggambarkan keadaan semasa ekonomi di negara ini. Gambar tersebut yang menerima lebih 650 likes dimuat naik bersama kapsyen yang mengandungi kata-kata berunsur nasihat kepada mereka yang berkuasa. "Mati atau cedera? China akan menentukan, tetapi nilai relatif normal baharu akan diguna pakai bagi kebanyakan pasaran yang muncul. Terima dan sesuai diri dengan cepat. "Sementara itu, modal sangat sensitif; berita buruk dan tanda-tanda tidak baik diperluas, jadi mereka yang 'berkuasa' perlu mengelak mengatakan perkara bodoh," tulis Nazir yang juga adik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau tidak menyatakan dengan jelas mengenai individu yang dirujuk itu. Wall Street Bull atau lebih dikenali sebagai "Charging Bull" merupakan sebuah monumen ikonik berwarna gangsa yang terletak berhampiran Wall Street, New York. Ia dibina pada 1989 oleh artis Arturo Di Modica untuk melambangkan keyakinan dan kekuatan kewangan berikutan kejatuhan pasaran saham Amerika Syarikat pada 1987.