KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) telah memperjelaskan kekeliruan kepada pihak polis mengenai lokasi sebenar peserta Bersih 4.0 yang akan berhimpun pada 29 dan 30 Ogos ini. Pengerusi Bersih 2.0 dan aktivis, Maria Chin Abdullah berkata, polis akhirnya memahami bahawa peserta hanya akan berhimpun di kawasan sekitar Dataran Merdeka kerana dilarang memasuki kawasan dataran itu semasa perhimpunan berlangsung. "Mereka beranggapan kita akan memasuki dataran tetapi tidak. "Bila dah diperjelaskan, kita mengadakan rundingan bersama polis mengenai bagaimana untuk menanganinya," katanya di luar ibu pejabat polis daerah Dang Wangi selepas mengadakan pertemuan dengan pihak polis pada Rabu. Maria yang menyifatkan pertemuan itu sesuatu yang "positif" berkata, mereka akan merancang semula laluan mereka kerana beberapa tumpuan lokasi mereka di Kuala Lumpur akan ditutup sempena sambutan hari kemerdekaan. "Kita bekerjasama dengan polis. Polis juga telah memberi jaminan kepada kita bahawa mereka akan mengawal keselamatan. "Saya tidak dapat katakan bila pertemuan seterusnya tetapi kita percaya mereka tahu terdapat kesegeraan untuk membincangkan perkara ini secepat mungkin. "Rancangan kita akan berdasarkan tentang bagaimana polis merancang untuk menanganinya. Kita akan memaklumkannya dalam masa terdekat," katanya.