PUTRAJAYA: Kajian sedang dibuat untuk memotong mata demerit ke atas pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan walaupun mereka telah membayar kompaun. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata ini adalah antara aspek yang sedang diteliti bagi dilaksanakan di bawah sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalanraya (Kejara). Beliau berkata sistem Kejara yang digantung sementara pelaksanaannya bagi dibuat kajian menyeluruh, merupakan sistem yang baik dan perlu diteruskan dengan beberapa penambahbaikan yang relevan dengan keadaan semasa. Beliau berkata hasil penelitian itu akan dilaksanakan segera selepas kajian menyeluruh yang sedang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selesai dan dijangka diumumkan pada hujung tahun ini. "Sebelum ini setiap kesalahan akan ditolak matanya, dan jika kompaun dibayar, maka mata demerit tidak akan dipotong. Namun langkah ini tidak akan memberi kesan kepada pemandu. "Saya berpandangan, bagi apa-apa kesalahan lalu lintas yang serius, ia perlu dipotong mata kesalahannya, kerana jika tidak pemandu akan beranggapan bahawa dengan membayar kompaun, kesalahan mereka tidak dikira dan markahnya tidak ditolak," kata Liow kepada pemberita selepas melancarkan Program Kembara Kasih Merdeka JPJ bersama Skuad Muda 1JPJ sempena sambutan Hari Kebangsaan 2015 di kementeriannya di sini, Selasa. Sistem Kejara yang diperkenalkan pada 1984 digantung sementara pelaksanaannya bagi memberi laluan kepada satu kajian menyeluruh dilakukan. Mengikut sistem ini, lesen memandu akan digantung setelah pemiliknya melakukan kesalahan dan mengumpul 15 mata demerit. Setelah tiga kali digantung dan jika pemiliknya terus mengulangi kesalahan dengan mengumpul lebih daripada 15 mata demerit, maka lesen mereka akan dibatalkan. Mengenai Program Kembara Kasih Merdeka, Liow berkata ia melibatkan 15,000 sukarelawan Skuad Muda 1JPJ di seluruh negara yang berkonvoi sambil membawa Jalur Gemilang. Mereka akan kembali semula ke Putrajaya pada 31 Ogos untuk acara penutup, katanya. Kembara bermotosikal berkuasa tinggi itu bertujuan membentuk semangat kesukarelawan dalam kalangan anggota JPJ dan Skuad Muda 1JPJ dalam menyemarakkan semangat cintakan negara dan memberi pendedahan kepada belia untuk menyertai aktiviti sihat.