suria

Bersih Ancam Saman SKMM Kerana Sekat Laman Web

Maria Chin Abdullah.

PETALING JAYA: Bersih 2.0 mengancam untuk menyaman Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melainkan ia menarik balik sekatan laman web yang menyebarkan maklumat mengenai perhimpunan Bersih 4.0.

Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Maria Chin Abdullah berkata, keputusan SKMM itu begitu mengejutkan dan bertentangan dengan hak perlembagaan.

"Ia bertentangan dengan hak untuk mendapatkan maklumat, dan kita bercakap mengenai melaksanakan akta terhadap hak untuk mendapatkan maklumat," katanya sambil menambah bahawa tujuan SKMM adalah memastikan saluran maklumat yang bebas.

SKMM dalam satu kenyataan pada Khamis, ia akan menyekat semua laman web yang mempromosi dan menggalakkan orang ramai menyertai perhimpunan Bersih 4.0 yang akan diadakan di ibu negara pada hujung minggu ini.

Selain itu, SKMM menggesa orang ramai supaya melaporkan kepada suruhanjaya sekiranya terdapat laman web dan media sosial yang dipercayai menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan kestabilan negara, ketenteraman awam dan kestabilan ekonomi.

Maria berkata, penganjur perhimpunan bergantung kepada sosial media dan internet untuk keselamatan, kawalan orang ramai dan menangani maklumat yang salah.

"Kita benar-benar bergantung kepada internet untuk menyebarkan maklumat. Menghentikannya hanya akan menyebabkan kita berhadapan dengan kesulitan.

"Kita akan saman mereka jika mereka tidak tarik balik (sekatan). Ia benar-benar bertentangan dengan hak rakyat untuk mendapatkan maklumat. Mereka tak ada hak untuk menyekat," katanya.

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan