PETALING JAYA: Peserta perhimpunan Bersih 4.0 hanya dijadikan alat politik pembangkang bagi menumbangkan kerajaan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Nur Jazlan Mohamed. Mengambil contoh apa yang berlaku ketika perhimpunan yang sama pada 2012, Nur Jazlan berkata penyertaan parti pembangkang hingga mencetuskan kekacauan jelas merosakkan matlamat perhimpunan aman yang dijanjikan penganjur. “Sebenarnya apa yang diperkata penganjur perhimpunan haram berkenaan sebagai hak untuk berhimpun serta mempunyai usaha murni adalah pembohongan semata-mata kerana terbukti ia didalangi ahli politik pembangkang," katanya menerusi kenyataan pada Khamis. Mengulas lanjut Ahli Parlimen Pulai itu menjangkakan perhimpunan Bersih 4.0 di ibu negara pada hujung minggu ini akan berakhir dengan insiden keganasan. Tambah Nur Jazlan, kementeriannya tidak menolak kemungkinan bahawa akan wujud kumpulan yang akan mencetuskan huru-hara dalam perhimpunan haram Bersih 4.0 itu nanti. “Tindakan provokasi berkenaan adalah untuk menyebabkan polis dipersalahkan kerana menggunakan kekerasan terhadap peserta perhimpunan haram itu. "Ia sekaligus akan meningkatkan kebencian terhadap pihak berkuasa dan kerajaan,” katanya. Sehubungan itu Nur Jazlan berkata, polis akan mengerahkan kira-kira 4,000 anggotanya untuk bertugas sepanjang perhimpunan berkenaan. "Saya benar-benar berharap supaya rakyat Malaysia tidak terpedaya dengan menyertai perhimpunan haram Bersih 4.0 ini kerana kemungkinan kekacauan berlaku amat tinggi. Kita tidak mengetahui latar belakang peserta demonstrasi berkenaan yang mungkin terdiri daripada kumpulan yang mahu mengambil kesempatan menimbulkan huru-hara. "Atas sebab itu polis tidak bersetuju dengan kaedah demontrasi kali ini kerana tiada siapa yang jelas boleh dipertanggungjawabkan apabila menanggung kecederaan dan berlaku kerosakan harta benda," katanya.