suria

Liang Liang Sudah Mula Nampakkan Tanda Makan Sendiri

KUALA LUMPUR: Panda gergasi Liang Liang sudah mula bertenaga sehingga boleh melepaskan sebelah tangannya ketika memangku anaknya, sekali gus memberi petanda dia mampu makan dengan sendiri.

Pengarah Zoologi dan Veterinar, Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC), Dr Mat Naim Ramli berkata sekiranya Liang Liang mula makan dengan sendiri, pengasingan anak dan ibu panda itu akan lebih mudah dilakukan.

"Setelah dia boleh makan buluh dengan sendiri, dia akan membiarkan anaknya bermain sendiri dan perkara ini akan memudahkan kami mengasingkan anaknya bagi tujuan pemeriksaan kesihatan," katanya kepada Bernama di sini.

Sejak melahirkan anak pada 18 Ogos lepas, Liang Liang menggunakan kedua-dua belah tangan untuk memangku dan melindungi anaknya.

Dr Mat Naim menjangkakan Liang Liang boleh makan sendiri menggunakan kedua-dua belah tangannya dalam masa sebulan.

Beliau berkata di China, pengasingan terhadap ibu dan anak panda dilakukan hampir setiap hari.

"Di sana (China), boleh dikatakan setiap hari pengasingan dilakukan apabila ibu sedang leka makan, dan ia akan melepaskan anaknya untuk bermain sendirian," katanya.

Mengulas mengenai pengasingan yang dirancang pada Sabtu ini, Dr Mat Naim berkata ia agak berbeza dengan apa yang dilakukan pihaknya ketika pengasingan pertama pada 22 Ogos lepas.

"Kali ini agak berbeza sedikit kerana Liang Liang sudah mula bertenaga untuk bergerak dan lebih melindungi anaknya. Oleh itu, kita akan lihat nanti sama ada pengasingan kali ini berjaya atau tidak," katanya.

Mengikut perjanjian dengan China, anak panda gergasi yang belum diberi nama itu hanya boleh berada di negara ini selama dua tahun sahaja sebelum perlu dihantar pulang ke republik berkenaan.

Liang Liang dan pasangannya Xing Xing, yang sebelum ini dikenali dengan nama Fu Wa dan Feng Yi, tiba di Malaysia dari China pada 24 Mei 2014 sebagai simbol jalinan hubungan diplomatik 40 tahun antara Kuala Lumpur dan Beijing.

Panda Gergasi, Liang Liang

Artikel Lain