KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak akan mengurangkan kuota pelajar tajaannya ke luar negara serta jumlah pembiayaan pelajar berikutan kejatuhan nilai mata wang ringgit ketika ini. Pengerusinya Tan Sri Annuar Musa berkata Mara masih mempunyai keupayaan untuk menaja 210,000 pelajarnya, malah terdapat dana tambahan sebagai persediaan untuk menampung pembiayaan pelajar berkenaan. "Buat masa ini, kami sedang mengembangkan dana pendidikan yang kami ada...kami ada bajet tahunan daripada kerajaan dan Mara juga sudah membuat satu dana endowmen bernilai RM1 bilion serta kita wujudkan satu kerjasama antara Mara dan pihak bank sebagai kemudahan tambahan," katanya kepada Bernama. Bercakap mengenai kerisauan ibu bapa pelajar tajaannya berkenaan masalah kewangan yang mungkin dihadapi pelajar yang menuntut di luar negara akibat kemerosotan mata wang negara, Annuar memberi jaminan bahawa jumlah wang yang diberikan kepada mereka akan kekal dan tidak akan dikurangkan. "Ini kerana wang yang diterima oleh pelajar adalah dalam bentuk nilai mata wang negara itu (negara tempat mereka belajar) dan bukannya dalam bentuk nilai mata wang Ringgit Malaysia (RM)," katanya. Sementara itu, Annuar berkata Mara tidak berhasrat untuk menjual aset hartanahnya di Australia untuk membiayai lebih ramai pelajar melanjutkan pelajaran ke luar negara. Beliau berkata tiada keperluan untuk berbuat demikian kerana agensi kerajaan tersebut masih mampu membiayai dan menaja pelajar dalam mahupun luar negara. Katanya aset yang dimiliki oleh Mara kini mendapat pulangan dan keuntungan yang besar sekali gus membantu aliran wang tunai agensi kerajaan itu. "Nilai-nilai aset yang kami ada, kami beli dalam Ringgit Malaysia dan sekarang kami membuat keuntungan besar. Jika kami jual aset tersebut sekarang, memang Mara akan mendapat keuntungan yang berganda daripada keempat-empat belian aset itu," katanya. Baru-baru ini, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dilaporkan berkata Mara Incorporated dicadangkan supaya menjual hartanahnya di Australia yang bernilai RM63 juta selain aset-aset lain bagi membolehkannya menaja lebih ramai pelajar melanjutkan pengajian di luar negara. Mara Incorporated yang merupakan anak syarikat Mara memiliki aset bernilai RM600 juta di Australia dan United Kingdom.