PASIR GUDANG: Ahli-ahli politik yang telah menyimpang daripada tanggungjawab sebenar perlu kembali ke pangkal jalan, gesa Tun Dr Mahathir Mohamad. Bekas perdana menteri itu berkata, beberapa pemimpin politik telah lupa tanggungjawab masing-masing kepada rakyat yang memilih mereka sebagai wakil rakyat sebelum ini. "Kembalilah ke pangkal jalan. Kamu telah tersasar," katanya pada sesi Bicara Negarawan yang berlangsung di Stadium Pasir Gudang, di sini, Sabtu. Dr Mahathir berkata, terdapat pemimpin telah lupa bahawa rakyat memilih mereka untuk melindungi hak-hak masyarakat sendiri. Katanya, Umno sepatutnya berjuang untuk ahli-ahli dan orang Melayu, bukan hanya untuk pemimpin parti. "Kita mempunyai masa depan negara yang cerah sebelum ini, tetapi kini ia tidak lagi," katanya.