KUALA LUMPUR: Amanat Hari Kebangsaan 2015 yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersifat jujur dan berterus-terang, khususnya berkaitan kedudukan ekonomi negara. Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak berharap rakyat dapat menerima dan memahami intipati amanat itu dengan minda terbuka demi masa depan negara yang gemilang. "Dengan asas ekonomi negara yang kukuh, saya yakin negara akan dapat memacu masa depan yang gemilang," katanya kepada pemberita selepas majlis Amanat Hari Kebangsaann 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini. Najib ketika menyampaikan amanat itu berkata beliau telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Ekonomi dianggotai 10 pakar ekonomi dan tokoh korporat yang akan bertindak segera menimbang segala perancangan dan tindakan bersifat serta-merta sehingga kemelut ekonomi reda. Selain itu, katanya Malaysia berjaya menduduki tangga ke-12 daripada 60 negara dalam World Competitiveness Yearbook 2014. Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai berkata amanat berkenaan sangat bertepatan dengan situasi semasa negara, dan menyeru rakyat menghidupkan semangat solidariti. "Beliau (Najib) mengingatkan seluruh rakyat berbilang kaum supaya mengenang semula semangat kemerdekaan kerana ia penting untuk menghidupkan semangat cintakan negara," kata Presiden MCA itu. Tiong Lai berkata, mesej supaya rakyat berganding bahu dan sehati sejiwa menghadapi apa jua rintangan yang datang, amat penting supaya dapat sama-sama berjuang menyokong dasar kerajaan ke arah merealisasikan Wawasan 2020. Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata mesej Perdana Menteri itu mestilah diingati, difahami serta disemat di sanubari rakyat. "Perdana Menteri menggariskan beberapa fakta penting antaranya matlamat tokoh terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan yang membawa kepada kebebasan dan kehidupan jauh lebih maju hari ini, perlu dikenang dan dihargai," katanya. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata bagi memastikan kecemerlangan negara berkekalan, seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira ideologi politik harus bersatu hati dan bersyukur. "Kalau kita tidak mensyukuri apa yang ada, kita pastinya akan dilaknati (Allah) dan akan menanggung segala kerosakan dan kemudaratan yang melanda," katanya kepada Bernama. Menurutnya, rakyat Malaysia perlu berjiwa besar dan mempunyai nilai kenegaraan yang tinggi, manakala perbezaan pandangan yang ada tidak seharusnya meruntuhkan keamanan dan kestabilan yang dinikmati selama ini. "Kita harus ambil iktibar apa yang berlaku di negara lain dan bersyukur kerana bumi Malaysia ini masih lagi dikurniakan Allah dengan susana aman dan tenteram," katanya. Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata amanat yang disampaikan Perdana Menteri perlu dipikul bersama oleh semua rakyat Malaysia. Beliau berkata solidariti rakyat mesti terus diperkukuh dan diperkuat untuk terus membina negara. Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez pula berkata penjelasan Perdana Menteri mengenai keadaan ekonomi memberi keyakinan kepada rakyat bahawa langkah-langkah sedang diambil untuk mengatasinya. "Ekonomi negara sedang meningkat sebanyak lima peratus tahun ini dan kemerosotan mata wang adalah masalah dunia, banyak negara turut mengalaminya," katanya. Wakil Persekutuan Pengakap Malaysia, Dzulfikar Kamal Kamarudin, 31, berkata amanat Perdana Menteri itu mengingatkan semula tentang perjuangan kemerdekaan. "Itu penting lebih-lebih lagi dalam suasana yang berlaku hari ini. Ia satu peringatan kepada kita trutama anak muda yang mudah terpengaruh dengan sesuatu perkara. "Hakikatnya, anak muda perlu ada satu hala tuju yang jelas tentang maksud kenegaraan," katanya.-- Bernama