suria

GHB Tubuh Amanah

KUALA LUMPUR: Gerakan Harapan Baru (GHB) mengumumkan pengambilalihan sebuah parti politik sedia ada yang dikenali sebagai Parti Pekerja-Pekerja Malaysia.

Pengerusi GHB merangkap Presiden baharu Parti Pekerja-Pekerja Malaysia, Mohamad Sabu bagaimanapun berkata parti tersebut akan dijenamakan semula dan bakal dikenali sebagai 'Parti Amanah Negara'.

Katanya, nama baharu dan Perlembagaan parti yang diterajuinya itu akan dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) dalam masa terdekat.

"Pelancaran parti ini akan dibuat pada tanggal keramat 16 September ini," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

"Dengan permulaan ini, ia sekali gus menampilkan sebuah lagi parti politik Islam di tanah air," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Untuk rekod Parti Pekerja-Pekerja Malaysia ditubuhkan pada 1978 namun gagal memenangi sebarang kerusi yang ditandinginya.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mengedarkan borang keahlian Parti Amanah Negara selepas pengumuman penubuhannya pada Isnin.
 
Menurut bekas Timbalan Presiden PAS itu, pemilihan nama Parti Amanah Negara (Amanah) dibuat selepas RoS menolak permohonan penggunakan nama Parti Progresif Islam (PPI).

Pada sidang media sama, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu turut mengumumkan jawatankuasa Amanah iaitu bekas Naib Presiden PAS, Ahmad Awang sebagai penasihat umum, bekas naib presiden PAS, Salahudin Ayub sebagai timbalan pengerusi, Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa sebagai naib pengerusi, ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Ahmad sebagai ketua wanita, dan Mohd Sany Hamzan sebagai ketua pemuda.

Selain itu, turut dilantik dalam jawatankuasa Amanah ialah Mohd Anuar Mohd Tahir sebagai setiausaha agung, Asmuwi Awi sebagai bendahari agung dan bekas ketua pemuda PAS, Suhaizan Kaiat sebagai setiausaha organisasi.

Mat Sabu berkata, pihaknya menjangkakan seramai 35,000 anggota akan didaftarkan menjelang pelancaran rasmi parti itu pada September depan.

Artikel Lain