suria

Peniaga Alatan Sembahyang Ditemui Mati Dengan 9 Kesan Tembakan

Gambar hiasan.

PUTRAJAYA: Seorang lelaki warga India ditemui maut dengan sembilan kesan tembakan di Taman Putra Prima, Putra Perdana dekat sini, Isnin.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, R. Muthuraman, 35, dari Puchong Perdana ditemui berlumuran darah dan tertiarap di lorong belakang kedainya.

Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Abdul Aziz Ali berkata polis menerima laporan orang awam terdengar bunyi tembakan dan kemudiannya menemui mangsa dengan enam kesan tembakan di belakang dan tiga lagi di dada.

Beliau berkata polis juga menemui tiga slug dan enam kelongsong peluru di tempat kejadian yang dipercayai dari pistol jenis Thai Arms 45.

Siasatan awal mendapati tiada tanda pergelutan dan tiada barangan yang hilang di kedai milik mangsa yang baru dibuka sejak empat bulan lalu, katanya ketika dihubungi.

Abdul Aziz berkata pihak polis sedang mengenal pasti motif pembunuhan.

Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang.

Beliau berkata mangsa yang juga seorang penilik nasib dan sami sering menjalankan upacara sembahyang di kuil dan rumah di sekitar Puchong serta telah berkahwin dengan warga tempatan.

Katanya, isteri mangsa membuat laporan polis minggu lepas bahawa bekas pekerja suaminya datang menuntut bayaran gajinya yang tertunggak dan mengugut untuk memukul isteri mangsa jika suaminya tidak membayar gaji bekas pekerja itu.

mati, tembakan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain