Menerusi makluman berjadual keempat yang menjadi hebahan mengenai usaha pelan pemulihan MAS bagi tarikh 1 Jun sehingga 31 Ogos, Khazanah berkata seramai 13,000 kakitangan itu memulakan tugas dengan MAB pada 1 September, iaitu 9,000 pekerja tetap manakala bakinya bekerja secara kontrak jangka pendek.
"Selain itu, ada seramai 2,000 kakitangan anak syarikat seperti Firefly, MASkargo dan MASwings," kata Khazanah dalam satu kenyataan pada Rabu.
MAB juga, kata Khazanah, telah menerima Sijil Pengendali Udara dan Lesen Perkhidmatan Udara daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan secara rasmi memulakan hari pertama operasinya pada 1 September yang menandakan peralihan rasmi daripada MAS kepada MAB.
"Usaha pemulihan itu terus memaparkan perkembangan dalam kesemua skop utama di bawah pelan lima tahun MRP," katanya.
Menurut syarikat pelaburan kerajaan itu, sebanyak 75 peratus kakitangan MAS yang tidak menerima surat tawaran MAB, telah mendaftar dengan Pusat Pembangunan Korporat (CDC) bagi tujuan latihan serta sokongan mendapat pekerjaan.
"CDC telah mengendalikan pelbagai sesi latihan kerjaya dan turut menganjurkan program kerjaya dan temuduga bagi membantu kakitangan terbabit," katanya.
Dalam pada itu, pihak pengurusan kanan MAB terus diperkukuhkan dengan pelantikan jawatan kepemimpinan utama.
MAS juga telah menyempurnakan pemindahan aset dan liabiliti terpilih mengikut undang-undang kepada MAB, berdasarkan Akta Malaysian Airline System Bhd (Pentadbiran) 2014, kata Khazanah.
"Usaha menyeluruh bagi penyusunan semula operasi perniagaan masih dijalankan, termasuk yang melibatkan lebih 100 projek bagi memulihkan pendapatan, pengoptimuman kos serta menyediakan mekanisme bagi kemudahan usaha pemulihan ini," katanya.