suria

Bayi Lelaki Tiga Bulan Maut Di Pusat Jagaan

SHAH ALAM: Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan dijumpai tidak sedarkan diri di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Seksyen 35 di sini, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selasa.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Safien Mamat berkata, bayi berkenaan dijumpai tidak sedarkan diri oleh pengasuh pusat berkenaan pada kira-kira 6 petang semalam sebelum dihantar ke sebuah klinik swasta berdekatan untuk rawatan.

"Bapa bayi itu menghantar anaknya ke pusat jagaan kira-kira 10 pagi (semalam), namun ketika mahu mengambil anaknya pukul 7 petang, dia dimaklumkan oleh pihak pengurusan pusat jagaan itu bahawa anaknya telah dimasukkan ke hospital.

"Sebelum itu, bayi tersebut dihantar oleh pengasuhnya ke klinik berdekatan sebelum dipindahkan ke hospital dan mangsa kemudian disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, Rabu.

Beliau berkata setakat ini, tiada kesan kecederaan ditemui pada tubuh mangsa.

Katanya, punca sebenar kejadian masih belum dapat dikenal pasti berikutan polis sedang menyiasat kejadian itu dari pelbagai sudut termasuk kemungkinan bayi malang itu maut akibat tersedak susu.

"Semalam merupakan hari pertama bayi berkenaan dihantar ke pusat jagaan kerana ibunya baru habis tempoh berpantang.

"Polis dimaklumkan, ibu bayi berkenaan ke pusat jagaan kira-kira pukul 3 petang untuk memberi anaknya susu. Disebabkan itu, kita akan siasat sama ada bayi itu maut akibat tersedak susu," katanya.

Shafien berkata setakat ini, kejadian tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.-- Bernama


HTAR, Safien Mamat

Artikel Lain