suria

Curi Beg Sandang, Juruteknik Dipenjara, Denda

KUALA LUMPUR: Gara-gara mencuri sebuah beg sandang di pasar raya, seorang juruteknik pendingin hawa dihukum penjara empat hari dan denda RM650 oleh Mahkamah Majistret di sini Rabu.

Majistret Mohd Rehan Mohd Aris menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Awang Masri Ag Sulaiman, 35, selepas dia mengaku bersalah mencuri sebuah beg sandang berharga RM399.90, milik Pasaraya Aeon di Mid Valley Mega Mall, Brickfields, di sini, tiga hari lalu.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 20 hari sekiranya gagal membayar denda.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pasar raya tersebut pada pukul 6.30 petang, 30 Ogos lalu, mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda dan bagi kesalahan kedua atau yang kemudian hendaklah diseksa dengan penjara dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Terdahulu ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan dia perlu menanggung empat orang anak yang masih bersekolah, isteri yang baru bersalin dan ibu yang tidak sihat.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Aimy Zainul Anwar.
curi beg, Mohd Rehan Mohd Aris

Artikel Berikut

Artikel Lain