suria

Najib Dinasihatkan Tidak Hadir Persidangan Antirasuah Kerana 1MDB

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dinasihatkan untuk tidak hadir ke majlis perasmian Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) atas faktor keselamatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Senator Datuk Paul Low Seng Kuan berkata keputusan tersebut diambil selepas mengambil kira sebarang kemungkinan susulan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikaitkan dengan beliau dan mendapat perhatian seluruh dunia.

"Beliau sepatutnya hadir sehingga keputusan untuk beliau tidak hadir dibuat semalam. Ia selepas mengambil kira apa jua kemungkinan termasuk situasi semasa negara dan beberapa isu mengaitkannya secara peribadi.

"Beliau hadir sebagai ketua negara dan kami perlu mengikut beberapa protokol. Berbeza dengan pertemuan lain, persidangan ini membabitkan aktivis yang berani. Jadi ia berkaitan penerimaan mereka terhadap beliau," katanya pada bengkel Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) di Pusat Konvensyen Antrabangsa Putrajaya di sini, Rabu.

Menurut Paul Low, beliau tidak menolak Najib pastinya akan menerima sambutan 'dingin' di kalangan peserta persidangan tersebut.

"Sebagai menteri, saya menasihatkan beliau untuk tidak hadir kerana faktor keselamatan dan situasi semasa. Jadi cara terbaik adalah saya menyampaikan ucapan pada perasmian persidangan ini, " katanya.

Malah, beliau berkata, teks ucapannya pada perasmian persidangan tersebut tidak dipengaruhi oleh Najib.

"Teks ucapan tersebut dibuat berdasarkan kapasiti beliau sebagai menteri. Saya tak perlu arahan daripada perdana menteri," katanya.

SPRM, Antirasuah, Perdana Menteri

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain