suria

"Bertindak Tanpa Takut, Pilih Kasih" - Abu Kassim

Abu Kassim Mohamed

PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed mengingatkan semua pegawainya supaya bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih.

"Kami tidak memberi sebarang kekebalan dalam penyiasatan, atas sebab itu pegawai SPRM bersedia berkorban dalam memperjuangkan kepentingan awam.

"Kami percaya untuk mengelak terjerumus dalam isu kekebalan, semua institusi dalam sistem keadilan jenayah mesti bertindak mengikut merit setiap kes," katanya menerusi mesej khas pada majlis perasmian persidangan Antirasuah Antrabangsa (IACC) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya(PICC) di sini, Rabu.

Mesej khas itu dibacakan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Mustafar Ali.

Abu Kassim tidak dapat hadir pada persidangan tersebut kerana masih menjalani rawatan kesihatan di rumah.

Menurut Abu Kassim lagi, SPRM juga  berpegang kepada kepentingan kebebasan siasatan.

"Bagi masyarakat awam dan orang ramai, mereka mesti menjadi pelindung dan hati naluri kami untuk mempertahankan institusi antirasuah daripada sebrang campur tangan yang akan menjejaskan kebebasannya.

"Penggubal undang-undang, tanpa mengira perbezaan politik mestilah bersatu dan membantu kami untuk mewujudkan sebuah institusi antirasuah yang benar-benar bebas," katanya.

Kata Abu Kassim lagi, pendakwa raya di negara ini juga bertanggungjawab dalam melakukan pendakwaan serta bertindak tanpa pilih kasih dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.

Sementara itu, Mustafar berkata, perang global untuk menghentikan gejala rasuah memerlukan sistem dan prosedur yang lebih ketat.

Beliau menambah, asas kepada perjuangan ini memerlukan kepimpinan yang berintegriti, bertanggungjawab, berakauntabiliti dan telusan.

"Mengakhiri kekebalan adalah satu langkah dalam perjalanan yang bercitakan satu penubuhan, pemulihan, pelaksanaan dan penguatkuasaan prinsip integriti dan tadbir urus yang mampan," katanya.

Beliau berkata, SPRM, dalam tempoh lima tahun yang lalu telah mencapai kemajuan dalam menjadi sebuah agensi antirasuah yang bebas, telus dan profesional.

"Banyak yang telah dicapai tetapi lebih perlu dilakukan. SPRM komited untuk terus meningkatkan dan mengukuhkan dirinya sebagai salah satu agensi antirasuah yang bertaraf dunia," katanya.

Terdahulu, persidangan selama tiga hari itu dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Senator Datuk Paul Low Seng Kuan kira -kira pukul 3 petang Rabu.






SPRM, Abu Kassim Mohamed

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain