TELUK INTAN: Seramai 14 orang disahkan terkorban apabila sebuah bot yang membawa pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia karam di perairan Tanjung Sauh iaitu kira-kira 9 batu nautika dari Sabak Bernam pada Khamis. Dalam kejadian pada pukul 2 pagi itu, seramai 5 penumpang berjaya diselamatkan. Daripada 14 yang terkorban, seramai 13 mangsa adalah wanita dan seorang lelaki. Pegawai Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kapten Robert Teh Geok Chuan berkata, kesemua mayat dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat. Jelasnya, Pati yang berjaya diselamatkan pula dibawa ke Balai Polis Hutan Melintang untuk siasatan lanjut. Geok Chuan berkata, bot tersebut membawa Pati yang mahu pulang ke negara mereka dari jeti Hutan Melintang.