KUALA LUMPUR: MCA mengutuk tindakan segelintir peserta yang memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di perhimpunan Bersih 4 hujung minggu lepas. Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai menggesa polis mengambil tindakan segera ke atas individu yang melakukan perbuatan itu. "Tindakan ini (memijak gambar pemimpin negara) adalah satu provokasi dan bukan budaya rakyat Malaysia, jadi tindakan harus diambil," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA (CWC) di ibu pejabat parti itu di sini, Khamis. Beliau mengulas tindakan beberapa individu memijak gambar Najib dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada perhimpunan Bersih 4 yang tersebar luas di laman sosial. Liow yang juga Menteri Pengangkutan berkata ramai yang melihat perhimpunan Bersih 4 mengundang ketegangan kaum dan menggugat keharmonian rakyat negara ini. Sehubungan itu, beliau menggesa Barisan Nasional mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan perkara itu. Perhimpunan Bersih 4 pada Sabtu dan Ahad diisytiharkan polis sebagai haram, anjuran kumpulan yang mendakwa perhimpunan itu antara lain bertujuan memperjuangkan pilihan raya yang adil serta kerajaan yang bersih. Sementara itu, Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Wee Ka Siong berkata penglibatan majoriti masyarakat Cina dalam perhimpunan Bersih tidak boleh dijadikan indikator bahawa kepercayaan komuniti itu terhadap kerajaan merosot. Katanya, perhimpunan itu hanya platform yang digunakan pembangkang untuk menentang kerajaan.