KUALA LUMPUR: Penganjur Perhimpunan Bersih 4 berkata mereka tidak akan bercakap mengenai butiran akaun sumbangan orang ramai yang mereka terima sehingga polis mendakwa mereka di mahkamah. Pengerusi Bersih 4 Maria Chin Abdullah bagaimanapun menyatakan wang yang disumbang orang ramai berjumlah kira-kira RM2.45 juta. "Mereka (polis) bertanya kami mengenai sumbangan itu, akaunnya, apakah kami mengiklan di media sosial dan berapa banyak telah kami belanjakan. "Kami tidak menjawab semua soalan, kami berhak menutup mulut di bawah seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah dan kami akan menjawab semua soalan itu jika mereka mendakwa kami di mahkamah," katanya kepada pemberita selepas memberikan kenyataannya kepada polis di ibu pejabat Bukit Aman di sini mengenai perhimpunan Bersih 4. Maria antara tujuh individu yang dipanggil polis ke Bukit Aman pada Rabu untuk membantu siasatan mengenai perhimpunan itu hujung minggu lepas. Turut dipanggil ialah timbalan pengerusi Bersih 4 Sarajun Huda, bendaharinya Masjaliza Hamzah, anggota jawatankuasa Farhana Halim dan Fadiah Nadwa, anggota sekretariat Mandeep Singh dan aktivis pelajar Adam Adli. Maria berkata mereka juga ditanya polis mengenai kandungan kenyataan media mereka pada 29 Julai berkaitan perhimpunan itu. "Kami disoal siasat di bawah tiga seksyen - Seksyen 120, 124C dan 141 Kanun Keseksaan," kata beliau. Maria berkata, penganjur tidak bertanggungjawab terhadap insiden beberapa peserta Bersih 4 memijak gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Maria berkata memijak gambar tidak termasuk dalam program Bersih 4 dan mereka menentang tindakan seumpama itu dan tidak menyokong orang yang terlibat dalam insiden itu.