KUALA LUMPUR: Tindakan seorang ibu berusia 70-an yang meluru ke arah majistret yang mendengar kes anaknya mengejutkan orang awam dan semua yang berada di dalam Mahkamah Majistret di sini, Khamis. "Dia tak salah...anak makcik sakit, kena makan ubat dan setiap bulan perlu ke hospital, Tuan," kata ibu kepada tertuduh Abdul Razif Shamsi, 44, sambil menangis teresak-esak di hadapan Majistret Saifulakmal Said. Ibu itu yang duduk di galeri awam bertindak meluru ke hadapan majistret selepas Saifulakmal bertanyakan siapa yang akan menjamin anaknya yang mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencederakan seorang lelaki. Bagaimanapun jurubahasa mahkamah menyuruh ibu itu berdiri di tepi kandang saksi. "Penjamin lain tidak adakah? Sebab makcik ini uzur sangat," tanya Saifulakmal dan ibu itu menjawab isteri anaknya yang berada di luar bilik mahkamah akan menjamin suaminya itu. Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Okt ini untuk sebutan semula kes. Abdul Razif didakwa mencederakan Md Delafandi Md Jalil,35, menggunakan sebilah pisau di tempat letak motosikal di Blok 1, Kondo Rakyat, Pantai Dalam di sini, pukul 9 pagi, 26 Feb tahun lepas. Bapa kepada tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.