KUALA LUMPUR: Akibat mencuri 18 tin minuman alkohol di sebuah pasar raya, seorang pekerja sambilan sebuah hotel dipenjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, Jumaat. Majistret Muhamad Faizal Ismail menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Mohd Rafizam Rosli, 24, selepas dia mengaku bersalah mencuri kesemua minuman itu di Pasaraya KK Supermart (beroperasi 24 jam) di Jalan Tasik Permaisuri 3, Dataran Dwitasik, Salak Selatan, Cheras, di sini pada pukul 5.24 pagi, 27 Ogos lalu. Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 27 Ogos. Mohd Rafizam didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Aimy Zainul Anwar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.