suria

Dakwaan Malaysia Berdepan Krisis Rasuah Tidak Berasas - SPRM

PUTRAJAYA: Kritikan segelintir delegasi antarabangsa yang hadir pada Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) bahawa Malaysia berdepan krisis rasuah susulan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dibuat tanpa berdasarkan fakta kukuh.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Pencegahan), Datuk Mustafar Ali berkata dakwaan tersebut tidak benar dan menganggap kritikan itu sekadar persepsi dan pandangan mereka (delegasi antarabangsa).

"Rasuah suatu yang serius dan berlaku di mana-mana negara. Namun ia bukan krisis utama di Malaysia. Ia (kritikan) tak benar.

"Itu persepsi dan pandangan mereka apabila mereka menyatakan kebimbangan.. mungkin mereka tak ada fakta," katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Pada ucapan perasmian persidangan IACC Rabu lalu,  Pengerusi Transparency International (TI) Jose Ugaz mendakwa Malaysia menghadapi krisis rasuah susulan skandal 1MDB mengaitkan Perdana Menteri Najib Tun Razak.

Ugaz turut meminta Najib supaya mendedahkan identiti penderma RM2.6 bilion yang disalurkan ke dalam akaun peribadinya.

Mustafar berkata kritikan itu tidak berasas kerana ia hanya merujuk kepada satu kes sahaja.

"Beliau hanya merujuk kepada seorang individu sahaja. Mereka membandingkan skandal yang dihadapi Malaysia dengan negara lain," katanya.

Beliau berkata, Malaysia sentiasa berusaha keras untuk membanteras rasuah dengan menyifatkan penganjuran persidangan IACC sebagai bukti komitmen negara ini serius dalam menangani isu berkenaan dengan efisyen.

"Persidangan ini antara yang terbaik, reaksi dan maklum balas yang kami terima juga  amat menggalakkan.

"Bukan sahaja fasiliti yang ada tapi tema persidangan menterjemahkan segala bentuk perbincangan dan penghasilan kepada apa yang dikatakan sebagai satu kejayaan," katanya.

Sementara itu, Mustafar menegaskan hasil persidangan tersebut turut dirumuskan menerusi Deklarasi Putrajaya yang dipersetujui seramai 1,200 peserta dari 130 negara sebelum dihantar kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai isu-isu rasuah.

"Apa yang penting kita bersama-sama berjuang membanteras rasuah. Ini merupakan inti pati dalam setiap bengkel bahawa setiap negara tidak harus bekerja sendirian untuk membanteras masalah ini.

"Di Malaysia dalam aspek perundangan sekiranya kita kata jenayah tanpa sempadan maka negara lain perlu bersama-sama membanteras isu ini kerana ia memerlukan kerjasama negara lain," katanya.

Deklarasi Putrajaya itu dibacakan dua wakil wartawan muda luar negara pada majlis penutupan persidangan kali ke-16 ini.

IACC, SPRM, 1MDB

Artikel Berikut