suria

Program Semarak Ilmu Taja Persekolahan Asnaf Diteruskan - YPM

PETALING JAYA: Kerjasama antara Yayasan Pelajaran Mara (YPM) dengan Maybank Islamic Berhad dalam membangunkan masyarakat Islam berilmu diteruskan pada tahun ini menerusi Program Semarak Ilmu.

Ketua Pegawai Eksekutif YPM Datuk Abdul Karim Mustafa berkata menerusi program pendidikan itu Maybank Islamic menyumbangkan sebanyak RM2 juta untuk membantu anak-anak asnaf bagi persekolahan mereka.

"Program ini dirangka bagi membantu memantau dan membimbing pelajar-pelajar miskin untuk memastikan pencapaian pelajaran mereka dapat dinilai dan dipertingkatkan secara berterusan sehingga peringkat pengajian terakhir.

"Pengisian program ini melibatkan pemberian wang perbelanjaan sekolah bulanan, kelengkapan sekolah dan buku-buku rujukan tambahan," katanya pada majlis pelancaran Program Semarak Ilmu, Khamis.

Abdul Karim berkata projek utama di bawah program ini adalah Skim Anak Angkat YPM di mana badan korporat atau individu menaja pendidikan murid-murid sehingga tamat Tingkatan 5.

"Bayaran caruman adalah RM100 sebulan bagi sekolah menengah dan RM80 sebulan bagi sekolah rendah.

"Bantuan akan disalurkan setiap tiga bulan sekali kepada pelajar dengan mengkredit terus ke dalam akauan bank mereka," katanya.

Beliau menambah di bawah skim ini seramai 1,000 pelajar akan ditaja oleh Maybank Islamic dengan melibatkan jumlah RM1.38 juta.

Mengulas lanjut beliau berkata kelas bimbingan dan motivasi akan disediakan untuk pelajar yang akan menduduki peperiksaan, termasuklah program pendedahan minda setahun sekali untuk mereka yang terpilih.

"Pelajar yang tidak menduduki kelas bimbingan akan menghadiri kelas hafazan yang dikendalikan bersama sebuah NGO Raudhatul Huffaz.

"Buat permulaan ia melibatkan seramai 36 kanak-kanak di Wilayah Persekutuan dengan tajaan sejumlah RM74,000," katanya.

Katanya, terdapat juga peruntukan untuk pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang melanjutkan pengajian di dalam atau luar negara.

Beliau menjelaskan, bagi memastikan program ini berjaya dan mencapai matlamatnya, satu jawatankuasa bersama ditubuhkan untuk memantau dan menyelaraskan pengendalian program.

Sementara itu Ketua Pengurusan Syarian Muhd Ramadhan Fitri Ellias berkata Maybank Islamic akan terus komited menyokong usaha YPM menerusi program-program bantuan pendidikan seperti ini,

"Kami amat prihatin terhadap tahap pendidikan anak-anak terutama dari kalangan keluarga asnaf.

"Kami mahu mereka mempunyai daya saing yang tinggi supaya mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran dan sentiasa maju seiring anak-anak yang lain," katanya.

Sejak kerjasama dengan YPM terjalin pada 2013, Maybank Islamic telah memperuntukkan sejumlah RM5.38 juta untuk program-program pendidikan di bawah YPM.

YPM, Maybank Islamic

Artikel Lain