KUALA LUMPUR: Adalah tidak bijak bagi Umno untuk memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal daripada parti, kata Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Abdul Rahman Dahlan. Beliau berkata, banyak lagi isu lain yang perlu diberi perhatian oleh parti itu. "Secara peribadi, saya fikir adalah tidak bijak untuk melakukannya, bukan untuk ketika ini," katanya apabila diminta mengulas mengenai khabar yang tersebar bahawa Muhyiddin dan Shafie yang digugurkan daripada Kabinet pada Julai dijangka dipecat pada mesyuarat MT Umno minggu depan. Bercakap kepada pemberita selepas melawat Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Wangsa Sari di Setiawangsa di sini, Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, penyingkiran Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno serta Shafie, seorang daripada tiga Naib Presiden parti itu tidak termasuk dalam agenda mesyuarat pada Rabu itu. "Jauh didalam hati, saya tidak fikir ia akan berlaku dan tiada perbincangan mengenainya," katanya. Bagaimanapun, kata Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud, beliau akan ke luar negara untuk urusan rasmi minggu depan dan tidak dapat menghadiri mesyuarat yang dinanti-nantikan itu. Menjawab soalan lain, beliau berkata, Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Sabah dan Sarawak akan menolak sebarang undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. "Saya tidak fikir undi tidak percaya akan dibentangkan dalam Dewan Rakyat tetapi jika ia berlaku saya percaya Perdana Menteri dapat menanganinya. "Saya yakin kami, Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak akan tetap berdiri di belakang Presiden Umno," katanya yang juga Pengarah Komunikasi Strategik BN. Hampir suku atau 48 daripada 222 ahli Dewan Rakyat adalah wakil BN dari Sabah dan Sarawak. Abdul Rahman berkata, Ahli Parlimen sedar Najib adalah Perdana Menteri terbaik kerana melindungi kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak. "Bercakap bagi pihak rakyat Sabah, kami lihat Najib sebagai PM yang telah memberi pertolongan dan menunjukkan keprihatinan kepada kami. "Ada PM terdahulu yang banyak bercakap daripada mendengar," katanya. Kata Abdul Rahman lagi, walaupun persepsi umum kepada kerajaan dirosakkan oleh serangan terhadap Najib, BN masih mampu bertahan. Katanya, isu 1MDB boleh diselesaikan dan ia dijangka berlaku menjelang akhir tahun ini. Beliau berkata, Najib juga dijangka menyampaikan ucap utama berhubung dasar negara tahun ini untuk meningkatkan persepsi umum terhadap kerajaan. Antara ucapan penting Najib adalah ketika Perhimpunan Agung Umno, pembentangan Bajet 2016 dan pengenalan semula Rancangan Malaysia Ke-11. Abdul Rahman turut membidas pihak yang meminta Najib berundur pada Persidangan Antarabangsa Anti Rasuah Ke-16 kerana pihak berkuasa masih menyiasat isu yang diketengahkan. "Perdana Menteri yang meminta supaya siasatan dijalankan, jadi kita patut tunggu hasilnya," katanya.