PETALING JAYA: Bekas menteri kabinet, Tan Sri Rafidah Aziz menyelar penganjur perhimpunan yang dikenali sebagai 'baju merah' kerana baginya tiada keperluan untuk menyaingi demonstrasi Bersih 4.0 minggu lalu. "Tak guna untuk sesiapa sahaja melancarkan demonstrasi balas terhadap Bersih 4.0 yang mempunyai tuntutan yang jelas. "Mereka nak berdemonstrasi untuk apa? Sama seperti apa yang mereka cuba buktikan," kata bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu menerusi Fecebook pada Ahad. Rafidah yang juga bekas Ketua Wanita Umno turut menyelar mereka yang mengaitkan Bersih 4.0 dengan isu perkauman kerana cuba mengambil mudah isu yang dibawa kumpulan itu. "Dalam proses itu, isu-isu yang dibimbangi rakyat yang ingin melihat penyelesaian segera telah dipinggirkan," katanya. Tegas Rafidah negara kini berhadapan dengan isu berkaitan dengan tadbir urus, ketelusan dan integriti, bukannya perkauman. "Rakyat meletakkan keutamaan pada perkara-perkara ini. Tadbir urus ekonomi yang betul dan kebolehpercayaan kepada orang yang mempunyai kedudukan dan kuasa," katanya. Katanya peserta yang bakal menyertai perhimpunan 'baju merah' pada 16 September ini kemungkinan tidak mengetahui mengenai tujuan ia diadakan. "Apa yang mereka nak buktikan dengan cuba untuk mendapatkan beberapa orang Melayu, terutamanya dari Umno...dibawa ke Kuala Lumpur untuk berhimpun dalam baju merah? "Adakah peserta itu diberikan maklumat yang tepat. Adakah mereka tahu apa yang benar-benar berlaku? "Adalah lebih baik untuk dilakukan solat hajat di seluruh negara, berdoa kepada Yang Maha Kuasa untuk menunjukkan jalan kepada kebenaran... berdoa agar negara ini akan selamat," katanya.