suria

Bai'ah: Wanita Amanah Tegur Hakim Syarie

Dr Siti Mariah Mahmud

PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (Amanah) yang diterajui kumpulan serpihan PAS menegur Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Mohammad berikutan kenyataannya berhubung taklik cerai yang dikatakan terkandung dalam bai'ah wakil rakyat di negeri itu.

Ketua Wanita Penajanya, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, Daud tidak seharusnya membuat penghakiman awal terhadap isu bai'ah membabitkan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli.

"Kami ingin menegur Ketua Hakim Mahkamah Syariah Kelantan yang membuat pre judgement  terhadap isu ini sebelum kes terbabit dirujuk ke hadapannya.

"Ia adalah suatu yang amat malang, apatah lagi pada ketika Kelantan sendiri sedang mempromosi pelaksanaan hudud dan seterusnya keadilan undang-undang Islam," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, Daud menasihatkan Dr Hatta supaya memberi penjelasan kepada Mahkamah Syariah negeri berhubung taklik cerai talak tiga yang dibaiahnya.

Kata Daud, Dr Hatta tidak wajar membuat keputusan sendiri tanpa melalui proses perbicaraan dan berkemungkinan beliau keliru antara baiah mengosongkan kerusi sebagai Ahli Parlimen dan lafaz taklik.

Selain itu, Dr Siti Mariah yang juga Ahli Parlimen Kota Raja mendakwa kerajaan PAS Kelantan bertindak membelakangi PAS Pusat apabila memasukkan taklik talak tiga dalam bai'ah untuk calon yang bertanding di negeri itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu.

"Bai'ah talak tiga telah pun ditolak amalannya oleh ramai pihak termasuklah oleh Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri.

"Amalan ini ditolak dan diminta untuk dihentikan atas hujjah ketidakwajaran mengheret institusi perkahwinan ke dalam percaturan politik parti dan kesetiaan seorang suami kepada perjuangannya.

"Semua negeri tidak lagi meneruskan amalan ini kecuali Kelantan. Adakah Kelantan tidak prihatin akan hal ini dan kepimpinannya mengambil mudah akan sikap dan pendirian yang telah dizahirkan oleh PAS Pusat bahkan Allahyarham Datuk Nik Aziz sendiri?," katanya.

Isu bai'ah dengan taklik talak tiga kembali menjadi polemik apabila sepuluh wakil rakyat PAS bertindak keluar parti tanpa melepaskan kerusi yang dimenangi dalam PRU lalu bagi menyertai Amanah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain