suria

iPad 'Monster' Dengan Skrin 12.9 Inci Diperkenal Rabu Ini

iPad baru akan menjadikan gajet Apple sedia ada (sepertimana gambar di atas) kelihatan kecil.

NEW YORK: Apple akan melancarkan iPad versi baru bersama-sama iPhone baru dan Apple TV baru pada Rabu ini.

iPad baru itu akan dinamakan 'iPad Plus' bersaiz besar dengan skrin 12.9 inci.

Difahamkan iPad Mini baru juga akan dipertontonkan kepada umum pada hari yang sama.

iPad edisi terbaru ini dikatakan bakal dilengkapi dengan empat pembesar suara dan dua pot mengecaj.

Seperkara yang ketara ialah, tablet baru itu nanti akan turut memiliki resolusi 2K dengan ketebalan 7mm.

Beratnya adalah sekitar 700g dan dibekalkan dengan bateri 11,000 mAh - jauh lebih besar dan berkuasa daripada bateri iPad Air 2 (7,340 mAh).

Apple melihat, iPad dengan skrin yang jauh lebih besar itu akan membezakannya dengan iPhone 6 Plus.

Gajet baru ini juga dipercayai akan dilengkapkan dengan aksesori stylus Bluetooth dengan sensitiviti sesentuh.

Teknologi skrin baru juga dikatakan turut diperkenalkan nanti.

Disamping iPhones baru, Apple TV baru akan turut diperkenalkan bersama-sama jam tangan Apple yang baru.

Walaupun pengenalan kepada gajet terbaru Apple ini akan berlangsung pada Rabu tetapi pra-tempahan hanya akan dibuka pada Oktober untuk jualan hujung November.

iPad baru itu disebut-sebut oleh pihak industri akan dijual pada harga runcit AS$1,000.

Laman web Buzzfeed menjangkakan yang Apple TV baru nanti akan meningkatkan lagi carian universal, sekaligus membolehkan pengguna untuk memasukkan nama program dan kemudian mencarinya untuk tontonan, misalnya daripada pembekal program video di atas permintaan seperti Netflix dan iTunes.

Buat masa ini, mencari rancangan televisyen secara online agak sukar dengan pihak pembekal seperti Amazon, Hulu dan Netflix semuanya bersaing dan kerap kali menukar katalog.

Carian Universal Apple yang dimuatkan dalam aplikasi Apple TV baru dikatakan boleh menyelesaikan masalah ini - juga memastikan yang pengguna memperolehi harga yang terbaik untuk kandungan dengan menyenaraikan kesemua produk yang ditawarkan oleh pihak pembekal.

Ini bermakna, pelanggan berupaya mencari kandungan atau video yang mereka hendak tonton sekali dan selepas itu boleh melihat hasil carian itu daripada pelbagai sumber yang berlainan serentak.

Artikel Lain