suria

90 Peratus Jantina Anak Panda Sudah Disahkan

KUALA LUMPUR: Selepas dilahirkan pada 18 Ogos lepas, jantina anak panda gergasi yang belum diberikan nama kini disahkan 90 peratus adalah betina.

Pengarah Zoologi dan Veterinar, Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC), Dr Mat Naim Ramli berkata hasil pemerhatian pihaknya tidak terdapat garisan struktur zakar pada bahagian belakang anak panda itu.

"Selain itu, bahagian belakang bawahnya pula sedikit bujur berbanding bulat yang ada pada kebanyakan anak panda jantan. Mungkin sebulan lagi kita akan dapat lihat dengan lebih jelas ciri fizikal pada anak panda betina," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Dr Mat Naim berkata pihaknya juga tidak berhasrat menjalankan Ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) bagi menentukan jantina anak panda seperti yang dilakukan ke atas anak panda di zoo Amerika Syarikat baru-baru ini.

Katanya, ujian DNA yang dibuat itu adalah untuk menentukan yang mana satu pasangan panda kerana ketika proses mengawan mereka menggunakan dua sperma panda jantan yang berlainan.

"Berbeza di sini proses mengawan panda berlaku antara Liang Liang dan Xing Xing sahaja iaitu hanya membabit sperma Xing Xing sahaja," kata Dr Mat Naim.

Selain badan anak panda sudah menampakkan tompokan hitam di setiap sempadan yang sepatutnya iaitu di bahagian mata, telinga, bahu, dada, kaki dan tapak kakinya, satu lagi ciri fizikal yang jelas kelihatan ialah kuku yang sudah tumbuh kira-kira 0.5 sentimeter.

Dr Mat Naim berkata bentuk kuku yang tumbuh pada anak panda itu sama seperti mana-mana spesis beruang lain iaitu tajam dan sedikit runcing.

Mengikut perjanjian dengan China, anak panda gergasi itu hanya boleh berada di negara ini selama dua tahun sahaja sebelum perlu dihantar pulang ke republik berkenaan.

Liang Liang dan pasangannya Xing Xing tiba di Malaysia dari China pada 24 Mei 2014 sebagai simbol jalinan hubungan diplomatik 40 tahun antara Kuala Lumpur dan Beijing.

Panda

Artikel Sebelum

Pasukan Pengaman Malbatt Ke Lubnan

Artikel Berikut

Artikel Lain