PUTRAJAYA: Pemuda Umno Lembah Pantai membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berhubung satu artikel yang mengaitkan Anggota Parlimen Lembah Pantai itu dengan cubaan membeli data 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dicuri. Naib Ketuanya Tengku Zuhri Tengku Abdul Aziz yang membuat laporan kepada SPRM di sini berkata pihaknya mahu siasatan terperinci dan menyeluruh dijalankan terhadap Nurul Izzah berhubung pendedahan yang disifatkan sebagai suatu dakwaan yang serius. Bercakap kepada pemberita, Tengku Zuhri, yang juga Exco Pemuda Umno, memaklumkan Setiausaha Umno Lembah Pantai, Datuk Sazali Kamilan turut membuat laporan polis terhadap Nurul Izzah berhubung perkara berkenaan. Akhbar hari ini mendedahkan butiran siasatan kes membabitkan bekas pegawai PetroSaudi International Ltd, Xavier Andre Justo termasuk pengakuan bertulis yang dibuat atas kerelaan sendiri, mendedahkan Nurul Izzah berminat membeli data mengenai 1MDB yang dicurinya pada tahun 2011. Pengakuan itu menyebut, apabila Nurul Izzah menawar untuk membayar dalam bentuk kontrak yang bakal diperoleh sebaik pembangkang mengambil alih kuasa daripada pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, Justo menolaknya. Justo, yang kini menjalani hukuman penjara tiga tahun di Thailand atas kesalahan peras ugut, mendakwa Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, bertindak sebagai brokernya dan bertanggungjawab membawa Nurul Izzah ke dalam urusan itu.