KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa meluangkan masa melawat pelumba basikal pelapis kebangsaan, Nur Rozi Yanti Mat Rodzi di unit rawatan rapi Hospital Kajang, dekat sini. Najib berkata doktor yang merawat Nur Rozi Yanti memaklumkan pelumba itu masih dalam keadaan kritikal tetapi menunjukkan perkembangan positif. "Kita doakan agar dia segera pulih dan kembali sihat," kata Perdana Menteri dalam catatan terbaharunya di laman Facebook beliau. Pelumba pelapis negara berusia 17 tahun itu terlibat dalam kemalangan melibatkan van pengiring pasukan di KM19, Lebuhraya SILK kira-kira 9.45 pagi, Sabtu lepas. Sementara itu, Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad berkata dalam pertemuan singkat itu, Perdana Menteri menegaskan akan terus memberi sokongan kepada atlet berkenaan ketika melalui tempoh pemulihan. Menurut Naim, Nur Rozi Yanti tidak lagi menggunakan alat bantuan pernafasan dan sudah boleh berkomunikasi dengan ibunya. Katanya, pihak hospital akan melakukan pemeriksaan ke atas paru-paru dan jantung pelumba itu petang ini. "Jika keadaan Rozi mengizinkan, pihak hospital akan memberi makanan pejal untuknya hari ini. "Dia masih memerlukan pemantauan rapi selepas apa yang dilaluinya. Pemantauan antara 69 dan 120 jam amat penting bagi mengelakkan sebarang komplikasi," katanya ketika dihubungi.