Peguam kepada Jill Ireland Lawrence Bill, Annou Xavier mengesahkan telah menerima surat meminta beliau mengambil CD tersebut di Kompleks Kastam di KLIA pada waktu pejabat, Khamis.
"Saya telah diminta untuk mengambil CD-CD tersebut di kompleks itu antara pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang," katanya ketika dihubungi.
Menurut surat itu, beliau perlu hadir dengan Bill untuk mengambil CD di Bahagian Kawalan Penerbitan Dan Teks Al-Quran di sana.
Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Pegawai Kanan Kastam, Suzanah Muin yang merampas CD milik Jill itu pada 2008 adalah tidak baik dalam undang-undang dan adalah 'ultra vires' Seksyen 9 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Suzanah juga bukan merupakan orang yang dibayangkan oleh Parlimen sebagai orang kompeten yang mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah rampasan.