KUALA LUMPUR: Wartawan generasi muda disaran melengkapkan diri dengan ilmu berguna ke arah menghasilkan berita yang hebat.
Ketika membuat saranan itu, Datuk Ahmad Rejal Arbee yang dinobatkan sebagai Tokoh Wartawan Negara 2014, berkata ini boleh dilakukan dengan memperbanyak dan mempelbagaikan bahan bacaan mereka.
"Ini akan banyak membantu dalam penghasilan berita yang hebat dan berimpak besar kepada masyarakat," kata bekas Ketua Pengarang Bernama itu selepas majlis penganugerahan yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini Khamis.
Berkongsi perit-jerih dan warna-warni kehidupan sepanjang lebih lima dekad sebagai pengamal media, Ahmad Rejal berkata antara aspek yang kurang digemarinya dalam bidang kewartawanan ialah keperluan menunggu terlalu lama dan akhirnya hanya mendapat komen singkat daripada sumber berita.
"Lebih sakit hati kalau pengarang mendesak minta (berita) cepat tetapi alah bisa tegal biasa, itu adalah resam kita dalam dunia kewartawanan ini," kata Ahmad Rejal yang juga bekas Pengarang Kumpulan Berita Harian.
Majlis penganugerahan Tokoh Wartawan Negara itu berlangsung sempena penganjuran Hadiah Kewartawanan Malaysia Institut Akhbar Malaysia (MPI)-Petronas 2014.
Bekas Pengarang Bersekutu The New Straits Times, Allahyarham Zainon Ahmad turut dinobatkan sebagai Tokoh Wartawan Negara Posthumous.
Anak perempuan Allahyarham, Zalinda Zainon, menzahirkan penghargaan kepada penganjur MPI atas anugerah berprestij buat arwah bapanya itu.
Zalinda, yang menerima anugerah itu bagi pihak arwah bapanya, menarik perhatian bahawa tokoh kewartawanan itu banyak berkorban demi kariernya.
"Arwah sering memberi idea bernas walaupun kadangkala bersifat kritikal namun mempunyai mesej berguna untuk masyarakat," katanya.
Anugerah itu merangkumi masing-masing wang tunai RM30,000 serta sijil penganugerahan Tokoh Wartawan Negara.