suria

Empat Jemaah Haji Malaysia Disahkan Terkorban

PETALING JAYA: Setakat ini, seramai empat jemaah haji Malaysia disahkan terkorban dalam kejadian runtuhan kren di Masjidil Haram, Makkah pada Jumaat lalu. 

"Pada jam 6 petang (Ahad) waktu Arab Saudi (11 malam waktu Malaysia), Tabung Haji mengenal pasti tiga lagi jenazah. Mereka ialah Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37 dari Tanah Merah, Kelantan; Rohana Ismail, 54, dari Kuala Krai, Kelantan dan Munah Jusoh, 73, dari Cherang Ruku, Kelantan.

"Ketiga-tiga mereka dikenal pasti oleh waris dan keluarga yang bersama-sama di Tanah Suci," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada sidang media di Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya, lewat malam Ahad.

Terdahulu, Rusiah Suar, 56, dari Sungai, Perak dikenal pasti sebagai jemaah Malaysia yang pertama terkorban dalam insiden itu.

Jamil Khir berkata, secara umumnya proses pengecaman jenazah dilakukan berdasarkan paparan 108 gambar dan barangan pengenalan di rumah mayat.

"Jemaah haji Malaysia dibekalkan dengan beberapa tanda pengenalan diri seperti buku rekod kesihatan, pas dan gelang.

"Tanda pengenalan ini memudahkan dan mempercepatkan segala usaha proses pengecaman dan pencarian dilakukan," katanya.

Semasa sidang media berkenaan, Jamil Khir turut membuat pengumuman bahawa seorang jemaah haji Malaysia, Abdul Muluk Ishak, 71 dari Pantai Remis, Perak yang merupakan antara lapan yang hilang ditemui selamat.

Sehingga kini tiga lagi jemaah haji yang masih hilang ialah Abdul Habib Lahman, 68, berasal dari Sik, Kedah; Shahidan Saad, 52, (Kodiang, Kedah) dan Zainun Taha, 69, (Ampang, Selangor).

Artikel Sebelum

Artikel Lain