suria

Insiden Baling Suar: Gantung Polis Dan Pihak Stadium Juga - Tengku Abdullah

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (dua,kanan) bersama Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bermesra dengan pemain bola cilik ketika merasmikan Liga Bola Sepak Rakyat pada Ahad . Liga Bola Sepak Rakyat adalah bagi membina landasan baru dalam usaha untuk mengembangkan permainan bola sepak secara bersistem bagi melahirkan pemain-pemain pelapis yang berpotensi.

PEKAN: "Jika mahu suspend (gantung) FAM, kena suspend polis dan stadium juga," tegas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Menurut Tengku Abdullah, FAM sedia bertanggungjawab atas kekecohan di Stadium Shah Alam pada Selasa lepas, namun pada masa sama, insiden yang mencalar imej bola sepak negara itu tidak seharusnya dibebankan sepenuhnya ke bahu persatuan itu kerana ia turut melibatkan pihak lain.

Malah, Tengku Abdullah mempersoalkan tindakan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) yang ingin mengenakan hukuman penggantungan kepada persatuan itu jika gagal menjawab notis tunjuk sebab berhubung kekecohan berkenaan.

"Kita lihat ini adalah masalah keselamatan dan keganasan...bukan FAM secara keseluruhan.

"Aspek keselamatan merupakan tanggungjawab polis dan stadium," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) di Dataran Pekan di sini, Ahad.

Majlis pelancaran disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hamzah Zainuddin.

Tengku Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin bahawa FAM berdepan penggantungan jika gagal menjawab notis tunjuk sebab daripada PPS yang bertarikh 9 Sept, dalam tempoh 14 hari.

Notis itu dihantar berikutan tindakan penyokong negara membaling suar dan bom asap ke padang semasa aksi Malaysia menentang Arab Saudi pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 menyebabkan perlawanan terpaksa dihentikan pada minit ke-88.

Pada masa sama, Tengku Abdullah berkata FAM juga bersedia mengadakan perjumpaan dengan Khairy, jika diminta berbuat demikian.

"Tetapi saya tidak perlu (berjumpa) kerana sudah ada pemangku Presiden  (Datuk Seri Afandi Hamzah). Saya juga masih kekal dengan keputusan meletak jawatan (sebagai Presiden FAM)," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, Tengku Abdullah memuji keprihatinan Perdana Menteri yang memahami kepentingan pembangunan bola sepak di negara ini dengan melancarkan liga tersebut.

"Ini menunjukkan beliau adalah pemimpin yang cukup dinamik, memahami dan amat prihatin atas hasrat dan keperluan rakyat," katanya.

Pada masa sama, Presiden FAM itu berkata bola sepak amatur perlu seiring dengan bola sepak profesional bagi mencungkil bakat baharu yang berpotensi untuk melonjakkan semula nama Malaysia dalam arena sukan itu.

"Saya masih percaya ada anak muda dari mukim, hulu atau ceruk yang berbakat walaupun sukar untuk kita mencari bakat seperti Pele dan Lionel Messi.

"Namun saya pasti ada kemungkinan pemain mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan (Datuk) Mokhtar Dahari, R. Arumugam dan (Datuk) Abdul Ghani Minhat yang merupakan antara permata dalam bola sepak negara," katanya.

Tengku Abdullah juga berharap konsep pertandingan bola sepak tajaan swasta melibatkan kerjasama antara FAM dan pihak swasta atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti LBR dapat diperluaskan.

Penganjuran sulung LBR tajaan Bank Rakyat membabitkan penyertaan 111 pasukan dari seluruh negara yang dibahagikan kepada lapan zon iaitu Zon Utara (Perlis dan Kedah), Zon Barat (Perak dan Pulau Pinang), Zon Tengah 1 (Selangor dan Pahang) dan Zon Tengah 2 (Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan).

Ia turut meliputi Zon Selatan (Melaka dan Johor), Zon Timur (Kelantan dan Terengganu), Zon Borneo 1 (Sabah) dan Zon Borneo 2 (Sarawak), yang kesemuanya membabitkan 520 perlawanan.

Stadium, Polis, FAM

Artikel Lain