PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan beberapa langkah penggalakkan untuk sektor pelancongan termasuk pengecualian visa kepada pelancong dari China dan rancangan membangunkan produk ikonik negara. Najib, dalam sidang media khas berkaitan ekonomi di sini, mengumumkan bahawa kerajaan akan menambah RM80 juta bagi memperhebatkan aktiviti promosi di pasaran terpilih, seperti negara Asean, China dan India. Beliau turut mengumumkan pengecualian visa kepada pelancong dari China yang masuk secara berkumpulan bermula 1 Oktober tahun ini sehingga 31 Mac tahun depan. "Selanjutnya pemberian visa akan dipermudahkan kepada pelancong daripada negara pengunjung utama, dengan pengenalan sistem e-visa," katanya. Najib juga mengumumkan pembangunan produk ikonik negara termasuk memberi nafas baru kepada Muzium Negara, Tugu Negara dan Taman Tasik Perdana serta menambah baik ketersambungan dengan KL Sentral melibatkan kos RM1.1 bilion. "Ini adalah untuk memenuhi potensi produk pelancongan berasaskan kebudayaan dan warisan yang akan dilaksanakan melalui kaedah Perkongsian Awam-Swasta bermula tahun depan dengan dana pemudah cara sebanyak RM220 juta," katanya. Najib turut mengumumkan pembangunan bersepadu Desaru Coast Destination Resort, yang merangkumi hotel, taman tema air, pusat persidangan serta pembangunan rumah percutian dan perkampungan membeli-belah dengan kos projek fasa 1 sebanyak RM4.5 bilion. Najib yang juga Menteri Kewangan berkata pembangunan industri pelancongan kesihatan yang banyak mendapat pengiktirafan antarabangsa akan diperhebatkan. "Langkah-langkah yang terperinci akan diumumkan dalam Bajet 2016 kelak," katanya. Najib akan membentangkan Bajet 2016 pada 23 Oktober ini.-- Bernama