KOTA BARU: Petugas Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Rohana Ismail, 54, sempat berjumpa dengan suaminya Muhammad Noor Harun, 56, meminta izin untuk solat di Masjidil Haram, Makkah sebelum terkorban dalam tragedi kren tumbang di masjid itu. Anak kedua Allahyarham, Siti Hamimi, 27, berkata sejak ibu bapanya berangkat ke Makkah pada Rabu lepas, beliau tidak pernah bercakap dengan ibunya itu dan hanya berbual melalui telefon dengan bapanya. "Ketika sampai di Makkah, abah sempat menelefon kami dan ketika hari kejadian sebelum kren tumbang itu, kami ada bertanyakan abah mengenai keadaan ma (ibu). "Abah cuma beritahu pada kami ma sempat jumpa abah minta izin mahu solat Zohor di Masjidil Haram bersama rakan-rakannya dan itulah kali terakhir mereka berdua bertemu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin. Rohana yang tinggal di Taman Guchil Jaya, Kuala Krai sedang menunaikan ibadat haji bersama suaminya, Muhammad Noor dilaporkan hilang selepas tragedi kren tumbang akibat ribut di Masjidil Haram Jumaat lepas, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 100 jemaah haji dan lebih 200 orang cedera. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata setakat ini, lima daripada lapan mangsa yang hilang disahkan meninggal dunia. Tiga daripada mangsa berasal dari Kelantan iaitu Rohana, Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37, dari Tanah Merah; Rohana Ismail, 54, dari Kuala Krai; Munah Jusoh, 73, manakala Rusiah Suar, 56, dari Sungkai, Perak dan Zainun Taha, 69, dari Ampang, Selangor. Siti Hamimi berkata berita kematian ibunya itu diketahui menerusi panggilan telefon daripada bapanya. "Abah awal-awal lagi telefon kami sebelum kami menonton sidang akhbar khas mengenai tragedi tersebut lebih kurang pukul 11.30 malam tadi. "Kami berasa sungguh terkejut dan sedih tetapi kami sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi," katanya. Siti Hamimi berkata sebelum berlepas ke Makkah Allahyarham ibunya itu sempat berpesan supaya mereka menjaga diri baik-baik kerana hendak 'pergi jauh'. "Ma juga terlupa bawa baju tidur dan kami adik-beradik berusaha cari baju tidur arwah ma, tapi tak jumpa. Kami juga pelik kenapa arwah hanya bawa beg kecil, tapi ma cuma tersenyum dan tak kisah sama ada tiada baju tidur ataupun bawa beg kecil. Di TANAH MERAH, anggota keluarga Siti Norshlizan berkata mereka reda dan bersyukur kerana Allahyarham dijemput pada hari Jumaat di tempat yang sangat mulia. Adik Allahyarham, Siti Khadijah, 32, berkata pada Ramadan lepas, arwah sempat berpesan kepadanya untuk menjaga tiga anaknya iaitu, Siti Nur Najihah Mohd Fazlin, 14; Siti Nurul Nadiah, 10 dan Eiman Basher, 5. "Kami reda dan bersyukur arwah terpilih dijemput oleh Allah pada hari dan tempat mulia dan terpilih dalam golongan syahid yang mana tidak semua orang merasainya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini. Siti Khadijah yang tinggal di Felda Kemahang 1 kini dalam perjalanan ke Kuala Lumpur bagi urusan pengebumian kakaknya itu. Siti Khadijah berkata pada mulanya beliau tidak mempercayai mengenai kematian kakaknya itu yang tersebar menerusi media sosial Facebook, namun segala-galanya terjawab selepas pengumuman yang dibuat oleh Tabung Haji pada sidang akhbar khas malam tadi. "Sebelum ini, saya sudah menerima berita ini daripada adik-beradik lain yang berada di luar Kelantan dan mereka suruh saya bertenang dan reda dengan pemergian arwah," katanya. Di PASIR PUTEH, Rosnita Abdul Rashid, 29, cucu kepada Allahyarham Munah Jusoh, 73, berkata pada mulanya pihaknya merasa lega selepas menerima kunjungan Pengarah Tabung Haji Kelantan Wahyudin Tamami, petang semalam yang banyak memberi semangat kepada mereka. "Namun, segala-segalanya berubah apabila kami menonton sidang media secara langsung di televisyen malam tadi yang mengesahkan nenek meninggal dunia dalam kejadian itu. "Kami akan mengadakan tahlil selama tujuh hari bermula malam ini bagi mendoakan kesejahteraan arwah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Kechik, Cherang Ruku di sini, Isnin. -- Bernama