SUBANG: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menziarah jenazah bekas Timbalan Pengarah Hal Ehwal Semasa Radio Televisyen Malaysia (RTM), Khairuddin Che Long pagi Isnin. Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri tiba di kediaman rakannya semasa bekerja sambilan di Wisma Radio di SS18 Subang Jaya pada pukul 11 pagi. Khairuddin, 64, didiagnos menghidap 'Chronic Obstructive Pulmonary Disease' (COPD) pada 2011 apabila batuk yang dihidapinya tidak sembuh. Adik iparnya, Wan Azizah Wan Omar berkata, Allahyarham dibawa isteri dan anak sulungnya Syuhaidah Hidayah ke Pusat Perubatan Sime Darby (SDMC) di sini untuk mendapatkan rawatan susulan pada malam Ahad. Bagaimanapun, katanya, abang iparnya itu menghembuskan nafas terakhir di SDMC di sini pada pukul 11 malam, Ahad. "Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ21 selepas Zohor," katanya ketika dihubungi. Khairuddin yang berasal dari Pulau Pinang meninggalkan isteri Wan Hanisah Wan Omar, 62, yang juga merupakan bekas Penerbit Rancangan RTM serta empat anak.