suria

Demonstrasi & Slogan Perkauman Bukan Tradisi Malaysia - Yayasan Usman Awang

PETALING JAYA: Yayasan Usman Awang (YUA) menegaskan demonstrasi jalanan dan slogan perkauman bukanlah budaya rakyat Malaysia yang harus dibanggakan.

Sehubungan dengan itu, YUA mengecam sama sekali sebarang bentuk demonstrasi jalanan dan slogan yang berbaur perkauman.

"Bermula sejak insiden Plaza Low Yat berdekatan dengan pejabat YUA di Kompleks Sun sehinggalah dakwaan himpunan Bersih 4 sebagai himpunan perkauman, slogan "Cina turun Bersih, sedia bermandi darah", himpunan baju merah dan protes yang dicadangkan minggu ini di sekitar Kuala Lumpur, semuanya bukan tradisi Malaysia.

"Malaysia, negara tercinta kita disanjungi sepelosok dunia kerana begitu unik dengan keharmonian, kesopanan dan perpaduan kaum walaupun berbeza agama, bangsa dan warna. Kepelbagaian kita menjadi aset terbesar negara. Rakyat Malaysia terkenal dengan penguasaan pelbagai bahasa dunia termasuk Bahasa Melayu yang digunakan di Nusantara, dialek-dialek Bahasa Cina dan India yang digunakan oleh kuasa ekonomi Asia dan negara-negara yang paling tinggi populasi dunia," jelas YUA dalam satu kenyataan pada Isnin.

Rakyat Malaysia juga, kata yayasan berkenaan, dikagumi apabila mudah menyesuaikan diri di mana-mana kerana "kita sudah biasa hidup dalam populasi yang terdiri daripada berbagai-bagai bangsa dan agama."

YUA juga menegaskan bahawa Malaysia berjaya menarik pelaburan asing antara lain kerana kestabilan politik dan keharmonian yang diamalkannya.

"Moyang kita membina semula kehidupan selepas peperangan dan kemudian bersusah berdekad-dekad sebelum mencapai apa yang kita kecapi hari ini. Tahun 2020, sasaran Malaysia menjadi negara maju cumalah tinggal lima tahun sahaja.

"Pada ketika ini, rakyat Malaysia sepatutnya bersatu padu mengembeleng tenaga untuk mencapai wawasan kita meskipun tidak sempurna seperti yang diimpikan," jelas kenyataan itu lagi.

Namun, katanya, aset terbesar ini bakal diragut oleh sesetengah pihak yang cuba meruntuhkan tangga menuju ke negara maju, yang dibina seinci demi inci, selama 58 tahun.

"Perjalanan sehingga ke hari ini tidak mudah, malah begitu sukar. Sebelum turun ke demonstrasi minggu ini, fikir-fikirkanlah sama ada kita mahu memusnahkan apa yang dibina dengan keringat dan pertumpahan darah moyang kita, ketika kita hampir mahu mencapai status negara maju tidak lama lagi," jelas kenyataan itu.

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan